Friday, October 12, 2012

Irfan Tak Gusar dengan Ketiadaan Nasriq

 

JURULATIH Selangor, Irfan Bakti menegaskan bahawa ketiadaan Nasriq Baharom, yang digantung, tidak mengundang sebarang masalah buat pasukan The Red Giants dalam aksi timbal balik menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Irfan berkata, beliau masih mempunyai ramai pemain handalan seperti Bunyamin Umar dan Asraruddin Putra Omar, malah dia percaya anak ¬buahnya akan bekerja keras dalam satu pasukan.

“Ketiadaan Nasriq tidak menjejaskan keyakinan kami untuk beraksi cemerlang nanti.

“Kita masih ada Bunyamin dan Asraruddin yang baru pulih daripada kecederaan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Nasriq,” katanya kepada Sinar Harian Online, semalam.

Tambah Irfan: “Saya juga akan menurunkan Rozaimi Abdul Rahman dan Bosko Balaban bagi merobek juara Piala Malaysia 2010 itu.

“Saya yakin mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik, meskipun tanpa kelibat Nasriq.

“Kita bermain dalam satu pasukan dan bukan secara individu. Jadi saya tidak lihat ia sebagai satu masalah,” katanya yang yakin mampu ke peringkat akhir dalam Piala Malaysia sekali gus melengkapi matlamat Misi 33.

Dalam pada itu, Irfan berharap anak didiknya akan bertenang dan tidak panik menyerap asakan lawan serta sentiasa memerhati setiap gerakan anak buah Bojan Hodak itu.

“Tempoh 90 minit harus dimanfaatkan dengan begitu baik oleh pemain bagi menempah slot ke pentas final.

“Kami perlu ketenangan berdepan dengan Kelantan. Kami akan bermain seperti biasa dan pasukan mana yang bermain bagus layak mara ke pentas akhir," jelas beliau yang berharap penyokong setia Gergasi Merah dapat hadir beramai-ramai memberikan sokongan bagi membakar semangat pemainnya nanti.

No comments:

Post a Comment